Thursday, December 8, 2016

Resepi Ayam Goreng Berempah, Sambal Tumis Udang Petai dan Acar Jelatah

Ayam Goreng berempah
Bahan-bahan :
1/2 ekor ayam - potong kecil
1-2 sudu besar serbuk kari daging
Sedikit serbuk cili atau cili kisar (opsyenal)
Garam secukup rasa
Beberapa helai daun limau purut - diracik halus
Minyak untuk menggoreng

Bahan Kisar Halus:
2 sudu besar biji ketumbar
1 sudu teh jintan manis
1 sudu teh jintan putih

Bahan Kisar Kasar:
6 biji bawang merah
2 ulas bawang putih
2 inci halia
2 inci lengkuas
2 inci kunyit hidup (ganti serbuk kunyit)
2 batang serai

Cara penyediaan:
Basuh ayam dan potong kecil. Toskan.

Masukkan ayam dan semua bahan kisar halus dan kasar beserta bahan-bahan yang lain ke dalam mangkuk besar.

Gaul biar rata dan rempah ratus menyaluti ayam. Perap dulu dalam 1 jam sebelum digoreng. Perap lama sikit lagi best. Boleh disimpan di dalam peti sejuk semalaman untuk lagi mesra.
Goreng dalam minyak penuh dengan api sederhana. Dan bila garing, dibalik balikan supaya ianya masak rata.
Angkat dan toskan. Angkat sekali rempah-rempah yang jatuh ke dasar kuali semasa menggoreng. Rempah ini yang sangat sedap. Kalau tak angkat terus nanti rempah-rempah tu hangit dan pahit. Bolehlah dihidangkan ketika panas-panas

Acar Jelatah
Bahan-bahannya:
1 biji timun - potong nipis membulat
1 biji tomato - potong kecil
1/2 biji bawang besar - potong nipis
Cili - dihiris
Cuka, garam dan gula
1 sudu teh sos cili

Masukkan semua bahan dalam mangkuk.
Gaul mesra. Sejukkan sebentar dalam peti ais.
Lepas sejuk, keluarkan dan bolehlah dihidangkan

Sambal tumis udang petai
Bahan bahan:
10 ekor udang kuning
1 biji bawang besar
3 ulas bawang merah
4 ulas bawang putih
1 senduk cili kisar - ikut pedas disukai
1 sudu besar gula
Garam
Air asam jawa

Cara cara:
Panaskan minyak dan goreng udang seketika. Angkat dan ketepikan.
Tumis pula bawang merah dan bawang putih yang dikisar serta cili kisar sehingga cili benar benar garing dengan menggunakan api perlahan.

Setelah garing, masukkan gula terlebih dahulu. Ianya akan menjadikan sambal berwarna merah cantik. Kacau rata, barulah dimasukkan petai, air asam jawa dan garam.
Akhir sekali masukkan udang yang telah digoreng dan kacau rata. Sesuaikan rasa dan tutup api. Jika suka, boleh juga masukkan bawang besar yang dimayang bulat dan kacau sehingga agak layu sebelum ditutup api. Sedia untuk dihidangkan.

Cadangan Menu untuk keluarga hari ini:

Nasi Putih
Kari Kambing
Ayam Goreng berempah
Acar timun /tomato
Sambal Belacan
Buahan
Kordial /Fresh Oren
(Tambahan lauk : Sambal Tumis Udang Petai dan Sayur campur brokoli/kacang peas)

No comments:

Post a Comment

< leave your comment here...>